Seperti dimaklumkan sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua berkuatkuasa 1 April 2020, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pada fasa kedua ini, ia tentulah berbeza caranya daripada fasa pertama dan juga Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan (PKPD). Walau bagaimanapun, saya tegaskan fasa kedua masih membenarkan pergerakan iaitu kedai-kedai dibuka dan beroperasi cuma masa dikawal,”katanya.
Menurutnya, antara fasa kedua yang dilaksanakan adalah waktu operasi pasar malam dan kedai barang keperluan begitu juga restoran dan kedai makan serta stesen minyak termasuk servis penghantaran ke rumah akan bermula 8 pagi hingga 8 malam.
“Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara atas talian, tetapi kita menasihatkan elak bersemuka dengan pihak penghantaran,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Manakala, waktu operasi pengangkutan awam kekal bermula pada pukul 6 pagi hingga 10 malam dan juga dari 5 petang hingga 10 malam kecuali teksi dan E-hailing dibenarkan beroperasi 6 pagi hingga 10 malam secara berterusan termasuk kenderaan-kenderaan persendirian.
Beliau menambah, kenderaan-kenderaan persendirian dibenarkan untuk keluar membeli barang keperluan tetapi hanya seorang bagi satu kenderaan.
Tinggalkan komen anda