PH tumbang sebelum sempat umum penangguhan bayaran PTPTN – Guan Eng


shadow

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memaklumkan kementerian itu telah memberikan kelulusan supaya pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya perlu dibuat jika gaji peminjam melebihi RM4,000 sebulan.

Katanya, formula dikemukakan PTPTN dan mendapat persetujuan Kementerian Kewangan itu bagaimanapun tidak sempat diumumkan selepas kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) terpaksa dibubarkan susulan peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 24 Februari lalu.

Beliau berkata, pentadbiran terdahulu bersetuju melaksanakan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun pendekatan seumpama itu memerlukan kerajaan menanggung pinjaman tambahan untuk membiayai dana sedia ada PTPTN.

“Malangnya, kerajaan PH tumbang sebelum pengumuman rasmi berhubung perkara ini dibuat.

“Saya berharap, janji untuk membenarkan peminjam PTPTN membayar balik pinjaman hanya selepas mereka mendapat gaji lebih RM4,000 sebulan tetap akan ditunaikan, meskipun kerajaan perlu menanggung pinjaman tambahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai jumlah pinjaman tambahan yang perlu ditanggung kerajaan, bagi memastikan kelestarian dana PTPTN berupaya dikekalkan.

Kerajaan PH sebelum ini mengotakan janjinya apabila mengeluarkan semua nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam, termasuk larangan ke luar negara, namun masih mempertimbangkan prosedur supaya bayaran balik hanya dibuat sekiranya peminjam mempunyai pendapatan lebih RM4,000 sebulan.

Prosedur sedemikian meraih sokongan, terutama dalam kalangan peminjam PTPTN yang gagal melakukan bayaran balik.

Namun, ia turut dihujani kritikan daripada segelintir peminjam yang sudah membuat bayaran balik walaupun mempunyai pendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Sepanjang 21 bulan lalu, Guan Eng berkata, kerajaan PH bekerja keras menunaikan pelbagai janji manifesto, termasuk langkah mengurangkan kos sara hidup menerusi penstrukturan semula perjanjian konsesi lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS).

“Pendekatan ini menghasilkan penjimatan RM42 bilion kepada kerajaan dan pengguna, dengan pengurangan kadar tol di Lebuh Raya Utara-Selatan sebanyak 18 peratus untuk kenderaan persendirian, bas serta teksi, malah tiada sebarang kenaikan kadar tol hingga habis baki tempoh konsesi.

“Kita menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), selain berjaya menurunkan kadar inflasi bawah paras kawalan daripada 3.8 peratus pada 2017 kepada 0.7 peratus pada 2019.

“Harga jualan petrol RON95 juga distabilkan dengan mengurangkan harga siling daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter. Selain itu, kita menyediakan perlindungan kesihatan baharu, meningkatkan ketelusan dalam kewangan awam, menguruskan fiskal dengan lebih baik dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan,” katanya.

Tinggalkan komen anda