Penghantar Grab, pembeli pengsan di Sunway Pyramid tiada kaitan Covid-19


shadow

Sunway Pyramid menolak dakwaan kejadian penghantar makanan Grab yang pengsan di sekitar pusat membeli-belah itu mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19.

Pengurusan syarikat itu pada maklum balas melalui Twitter hari ini, berkata insiden itu, serta satu kejadian lain melibatkan seorang pembeli yang pengsan di Sunway Pyramid juga tiada kaitan dengan Covid-19.

“Berhubung video yang beredar di media sosial baru-baru ini mengenai penghantar makanan Grab pengsan di sekitar Sunway Pyramid, kami ingin menjelaskan penghantar itu telah dihantar ke sebuah hospital berdekatan untuk rawatan perubatan selepas tindakan segera oleh kakitangan keselamatan kami .

“Bagi kes berasingan mengenai dakwaan seorang yang dikatakan pembeli di pusat beli-belah ini, kakitangan penjagaan pelanggan kami mendapati pembeli itu kini berada dalam keadaan baik, mampu menjalankan aktivitinya dan sejak itu telah pulang ke rumah,” kata ciapan itu.

Ia juga menjelaskan bahawa satu lagi video memaparkan seorang wanita pengsan di sebuah premis makanan tidak berlaku di Sunway Pyramid.

“Kesemua tiga kes ini tidak ada kaitan dengan Covid-19,” tegas pengurusan kompleks itu.

Sunway Pyramid turut menasihatkan semua pihak supaya tidak berkongsi hantaran media sosial yang tidak disahkan yang boleh mencetuskan ketakutan dan spekulasi.

Tinggalkan komen anda