Pendekatan ‘lain daripada lain’ dalam struktur eksekutif Kabinet baru Muhyiddin


shadow

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjadikan frasa “masa genting memerlukan langkah luar biasa” sebagai kaedah praktikal ketika berunding dengan penasihat politik, pembantu dan pakar tadbir urus berhubung komposisi Kabinet barunya.

FMT kini boleh mendedahkan maklumat daripada sumber, Kabinet baru akan menyaksikan “aliran fikiran baru dalam peringkat eksekutif” – memetik seorang sumber boleh dipercayai yang tahu mengenai perbincangan sejak beberapa hari ini – dengan satu struktur yang dicipta bagi mengharungi krisis politik.

“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, sekurang-kurangnya di Malaysia, tetapi ia berjaya dilaksanakan di negara jiran untuk memastikan sebuah kerajaan kuat yang boleh berfungsi,” sumber itu memberitahu FMT susulan satu lagi mesyuarat “sulit” lewat malam tadi.

Struktur tidak konvensional itu akan mempunyai fleksibiliti untuk mengisi kementerian yang memerlukan kepakaran, “tidak seperti amalan lama membenarkan orang baru memegang portfolio penting”.

Jawatan TPM

Tetapi, jawatan utama timbalan perdana menteri yang menjadi tumpuan dalam kalangan muka baru eksekutif itu mungkin digugurkan.

“Ada persetujuan sebulat suara yang jawatan nombor 2 ini sentiasa menjadi isu kontroversi dan sudah banyak kali mencetuskan krisis politik dalam 3 dekad lalu. Ia tentu boleh digugurkan ketika keperluan untuk kestabilan politik lebih penting daripada perkara lain,” kata sumber kepada FMT.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 4 menteri daripada kerajaan Pakatan Harapan terdahulu dijangka kembali ke portfolio lama mereka, termasuk dalam kalangan berpuluh ahli Parlimen PKR yang menyertai PPBM bersama Mohamed Azmin Ali.

FMT difahamkan Muhyiddin, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada 1 Mac lalu selepas pergolakan politik selama seminggu susulan kejatuhan kerajaan PH, akan menjelaskan kepada lebih 115 ahli Parlimen di bawah gabungan baru Perikatan Nasional berhubung pelan Kabinet barunya.

Muhyiddin dijangka mengumumkan barisan anggota Kabinet barunya petang ini selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan senarai itu pagi ini.

Hujung minggu lalu, beberapa pemimpin Umno menggesa Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dilantik ke Kabinet, walaupun Muhyiddin secara terbuka menyatakan mereka yang terbabit dakwaan rasuah tidak akan dipertimbangkan.

Maklumat diperolehi FMT mengesahkan Zahid dan bekas presiden Umno, Najib Razak tiada dalam barisan Kabinet baru, “begitu juga Ku Nan dan Azeez”, kata sumber merujuk bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Keempat-empatnya berdepan pelbagai pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dengan jumlah dakwaan dihadapi Zahid paling banyak.

Individu atas pagar

Muhyiddin berjanji tidak akan melantik mereka yang menghadapi pertuduhan rasuah dan jenayah lain dalam pentadbirannya.

Seorang ahli kanan PPBM memberitahu FMT, langkah mengecualikan pemimpin itu tidak mudah dan wujud kebimbangan gabungan lemah mungkin goyah.

“Lagipun, Muhyiddin tidak boleh mengelak membawa sesetengah pemimpin daripada kerajaan lama Barisan Nasional untuk memenuhi perjanjiannya dalam Perikatan Nasional,” katanya merujuk gabungan baru terdiri daripada PPBM, BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Beliau berkata, memilih menteri sama penting dengan janjinya untuk menjadi “perdana menteri kepada semua kaum”.

“Memastikan tiada muka penting BN sebelum Mei 2018 ialah cabaran pertama Muhyiddin.

“Itu bukan hanya akan meyakinkan penyokong tegar PH, tetapi juga Mahathir, yang sokongannya kepada Muhyiddin dilihat bergantung kepada syarat ini.

“Dan ia juga akan menarik individu atas pagar dan ahli PH lain ke dalam kumpulan Muhyiddin.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk menemui Muhyiddin hanya jika tiada “pemimpin Umno rasuah” dalam kerajaan barunya.

“Tidak ada sebab untuk saya berjumpanya, melainkan beliau bersedia membuang semua orang itu. Selepas itu kita boleh jumpa. Itu pun saya akan fikirkan dulu,” kata Mahathir di Langkawi.

Kejayaan struktur eksekutif baru itu perlu bergantung kepada kemampuan untuk menyingkirkan ketakutan terhadap insiden kerajaan tumbang berulang lagi.

Buat masa ini, krisis politik selama seminggu mungkin menyaksikan kemunculan aliran fikiran baru dalam menyatukan politik dan kerajaan di Malaysia.

Tinggalkan komen anda