Pemimpin Umno sepatutnya layak diberi kementerian penting, kata Azalina


shadow

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said hari ini mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang melantik anggota Kabinet terdiri daripada pemimpin Barisan Nasional, PAS, PPBM dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Azalina berkata, pemimpin Umno sepatutnya layak menjawat tugas di kementerian yang lebih penting seperti di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

“Kerajaan gabungan harus dibentuk berdasarkan perwakilan yang seimbang dan bukannya didominasi oleh mana-mana parti. Untuk menjadikan (gabungan) ini sah, mesti ada perjanjian bertulis antara parti-parti politik yang terlibat,” katanya di Twitter.

Azalina mengakhiri kenyataan dengan berkata, “Kesimpulannya… pendapat saya, #PM8 adalah ahli politik yang paling bijak di kalangan pemimpin Melayu pada 2020.”

Azalina merupakan pemimpin yang dilihat berpengalaman, memandangkan beliau pernah menjawat tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pelancongan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Dua orang yang bukan berlatar belakang sebagai ahli politik iaitu Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad masing-masing diberi portfolio kewangan dan hal ehwal agama.

Barisan menteri kali ini menyaksikan seramai 9 ahli Umno, MCA dan MIC 1, PPBM 7, PAS 3, Gabungan Parti Sarawak 4, Parti Bersatu Sabah 1, dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Dari Umno adalah Ismail Sabri Yaakob, Annuar Musa, Noraini Ahmad, Shamsul Anuar Nasarah, Adham Baba, Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Halimah Mohamed Sadique, dan Reezal Merican Naina Merican.

Tinggalkan komen anda