PAS cadang hapus unsur ‘riba’ dalam bayaran balik PTPTN


shadow

PAS selaku salah satu parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional menyuarakan hasrat agar “unsur riba” dalam bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dihapuskan.

Ia dinyatakan Timbalan Mursyidul Am Ahmad Yakob, yang berharap peminjam hanya membayar jumlah yang dipinjam.

“Kalau dulu semasa PH kempen dulu, dalam manifestonya mahu agar hutang PTPTN dihapuskan semua. Bagi saya kalau dihapuskan riba pun cukup dah.

“Kerajaan yang ada hari ini, kalau boleh diselesaikan tanpa riba pun cukup dah. Pinjaman balik sebagaimana pinjaman biasa tanpa riba.

“Jangan kita kecualikan (bayaran) sebab itu pinjaman. Apabila pinjam wajib kena bayar, tanpa riba,” katanya kepada media selepas mesyuarat lembaga pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya berkenaan harapan terhadap kabinet baru kerajaan persekutuan yang diketuai Muhyiddin.

Buat masa ini, selain caj pengurusan, peminjam PTPTN dikenakan kadar faedah tiga peratus. Bagaimanapun peminjam boleh bertukar kepada sistem ujrah yang mengenakan kadar satu peratus.

Untuk rekod, PH dalam manifesto PRU tidak menjanjikan penghapusan hutang PTPTN secara menyeluruh. Menurut Buku Harapan, ia berhasrat menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan – yang belum dilaksanakan – dan memansuhkan senarai hitam kepada peminjam yang tidak membayarnya.

Menurut Buku Harapan, diskaun yang setimpal atau pelupusan hutang secara keseluruhan hanya diberi kepada pelajar cemerlang atau peminjam dari keluarga berpendapatan rendah.

Gagasan Sejahtera – gabungan sejumlah parti politik dan NGO yang diketuai PAS – pula memasukkan penghapusan hutang PTPTN sebagai antara janji PRU lalu.

Mohd Amar

Ditanya mengenai pelaksanaan manifesto PAS pada PRU lalu selepas menyertai kerajaan, naib presidennya Mohd Amar Nik Abdullah berkata ia bukan kerajaan PAS sepenuhnya, dan parti itu sebahagian kecil yang menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

“Kena ingat, manifesto itu kalau kita jadi kerajaan (sendiri), sekarang ini bukan kerajaan PAS tetapi kerajaan Perikatan Nasional.

“Kalau PH itu mereka sekumpulan yang menang dengan manifesto yang dijanjikan.

“Kita hanya sebahagian kecil, jadi bagaimana kita nak laksanakan semua? Lainlah (jika) ini kerajaan kita atau kita menguasai sebahagian besar kerajaan,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda