KAHERAH: Mesir mengesahkan 33 kes baru Covid-19 pada Sabtu di atas kapal persiaran River Nile.
Tiada kes baru yang menunjukkan simptom virus itu, kata Menteri Kesihatan Hala Zayed kepada wartawan. Daripada 12 kes yang disyaki dalam kalangan anak kapal yang diumumkan pada Jumaat, 11 diuji negatif, katanya, tetapi akan dikuarantin selama 2 minggu.
Pelancongan adalah sektor utama ekonomi Mesir dan merupakan sumber pertukaran asing yang penting. Negara itu pulih baru-baru ini selepas bertahun-tahun terganggu akibat pemberontakan Mesir pada 2011.
Kapal itu tiba di bandar Luxor, selatan Mesir pada Khamis dari Aswan dan ditunda ke kedudukan di luar bandar dan diletakkan di bawah kuarantin, media negara melaporkan.
Kes pertama muncul selepas seorang wanita Taiwan-Amerika yang berada atas kapal itu diuji positif Covid-19 ketika pulang ke rumahnya.
Secara keseluruhan, 171 orang berada di atas kapal itu termasuk 101 penumpang dan 70 anak kapal, kata Zayed. Daripada 45 kes yang disyaki dari kapal itu yang diumumkan sejak 2 hari lalu, 19 orang adalah warga asing.
Sebelum kes kapal pesiaran itu, Mesir mengumumkan hanya 3 kes Covid-19, salah seorang daripadanya dikatakan pulih sepenuhnya.
Zayed juga berkata Mesir mengerahkan penggunaan alat ujian di lapangan terbang yang akan menunjukkan sama ada pelancong mempunyai Covid-10 dalam masa 30 minit.
Tinggalkan komen anda