Menteri: Buang pekerja langkah terakhir difikir MAB


shadow

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak mempunyai keperluan melakukan pembuangan pekerja ekoran penularan virus Covid-19.

Hal itu antara perkara yang dimaklumkan pihak MAB kepadanya dalam satu mesyuarat antara kementeriannya dengan syarikat itu pada 11 Mac lalu.

“Buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja.

“Tindakan pembuangan pekerja adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, dalam mesyuarat itu, pihaknya juga dimaklumkan tentang tindakan awal yang diambil MAB sejak berlakunya penularan virus Covid-19, termasuklah penerangan oleh ketua pegawai eksetutif (CEO) kepada semua pekerja, serta pembekuan lantikan baru dan kenaikan pangkat.

“Para pekerja juga digalakkan untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela untuk tempoh tiga bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak lima hari sebulan bagi tempoh tiga bulan.

“Permohonan cuti sukarela tersebut perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan (HOD) di MAB,” kata Saravanan lagi.

Industri penerbangan adalah antara industri yang menerima tempias wabak Covid-19 yang melanda dunia kini.

Pada 12 Mac, The Edge Markets melaporkan MAB meminta 13,000 kakitangannya mengambil cuti tidak bergaji susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan itu, bermula bulan depan.

Langkah cuti tanpa gaji itu turut ditawarkan kepada anak syarikat di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, MAB Engineering, Firefly and MASwings.

Laporan itu juga berkata, CEO kumpulan MAS, Izham Ismail mengumumkan potongan gaji sebanyak 10 peratus ke atas kakitangan kanannya, termasuk melibatkan elaun mereka bagi mengurangkan kos operasi.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, KSM telah menasihati MAB mengambil beberapa tindakan, termasuklah mematuhi undang-undang perburuhan, perjanjian kolektif (sekiranya ada),dan tatacara untuk keharmonian perusahaan (COC), serta meneruskan libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini Covi-19.

Tambahnya, KSN akan sentiasa memantau dan menasihatkan majikan ekoran penularan Covid-19, bagi memastikan keadaan kekal kondusif dan sihat tanpa menjejaskan kebajikan pekerja dan kelangsungan syarikat.

Tinggalkan komen anda