Lim jawab Mat Hasan: Muhyiddin juga patut disiasat


shadow

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan cuba memainkan sentimen perkauman apabila mengaitkannya dengan peningkatan hutang kerajaan dan penjualan aset kerajaan termasuk, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata, ini kerana sebarang penjualan aset bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan peningkatan hutang langsung diputuskan oleh Kabinet.

“Penjualan aset negara bukanlah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan saya tidak memainkan sebarang peranan dalam keputusan Khanazah Nasional Bhd, di mana saya bukan pun seorang ahli lembaga pengarahnya.

“Perbuatan Mohamad yang meneruskan penipuan Umno tentang kononnya saya bertanggungjawab terhadap bencana kewangan Tabung Haji ini hanyalah satu cubaan untuk meningkatkan sentimen perkauman,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, kerajaan PH sebelum ini mengalihkan Khazanah Nasional Bhd daripada Kementerian Kewangan kepada Jabatan Perdana Menteri.

Lim mengulas kenyataan Mohamad bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan menyiasat Lim, bekas menteri kewangan, kerana menambah RM140 bilion dalam hutang negara dan penjualan beberapa aset negara.

Antara yang dibangkitkan ialah pengambilalihan aset Tabung Haji oleh syarikat tujuan khas (SPV) Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan Tabung Haji pada tahun lalu.

“Jika ada salah guna kuasa kita akan bawa dia ke mahkamah. Ini bukan balas dendam tetapi demi negara kita. Kita tak boleh biarkan dia terlepas,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.

Lim berkata jika Mohamad merasakan siasatan perlu dibuat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga patut disiasat kerana turut termasuk dalam kabinet PH yang membuat keputusan.

“Mohamad patut menyiasat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga di atas tuduhan penyalahgunaan kuasa jika beliau berhasrat untuk menyiasat saya di atas tuduhan saya bertanggungjawab terhadap peningkatan hutang langsung kerajaan, penjualan aset negara dan aset Tabung Haji.

“Jika saya perlu disiasat, maka Muhyiddin juga perlu disiasat memandangkan beliau juga merupakan ahli kepada Kabinet yang sama yang meluluskan peningkatan hutang langsung kerajaan tersebut,” katanya lagi.

Berkenaan Tabung Haji, Khazanah Nasional dan Petronas, Lim berkata beliau tidak terlibat dalam keputusan yang dibuat tiga entiti itu.

Katanya, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa adalah individu yang bertanggungjawab terhadap Tabung Haji dan beliau selaku menteri kewangan ketika itu tidak terlibat dalam mesyuarat atau proses membuat keputusan badan itu.

“Satu-satu peranan yang saya jalankan adalah untuk menyokong keputusan untuk menyuntik hampir RM20 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan untuk menyelamatkan Tabung Haji.

“Namun begitu, saya masih dituduh sebagai punca kepada segala kerosakan Tabung Haji,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda