Lelaki positif Covid-19 hadir di himpunan tabligh bersama 10,000 orang


shadow

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mendedahkan bahawa kira-kira 10,000 orang telah menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur antara 27 Feb dan 1 Mac, yang turut disertai seorang lelaki warga Brunei yang positif dengan Covid-19.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh ini melibatkan anggaran sejumlah 10,000 orang dari beberapa buah negara termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia adalah dianggarkan melebihi 5,000 orang. Semua Jabatan Kesihatan Negeri sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menyeru semua mereka yang hadir pada majlis itu untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan.

“KKM menyeru agar semua yang telah menghadiri perhimpunan ini memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus merebak dalam komuniti,” katanya.

Warga Brunei itu disahkan mendapat jangkitan virus itu selepas dia pulang ke negara asalnya dan menjadi kes pertama Covid-19 di Brunei.

Menurut Kementerian Kesihatan Brunei hari ini, pesara berusia 53 tahun itu ke Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu untuk menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan dan kembali ke Brunei pada 3 Mac melalui Miri, Sarawak dengan menaiki pesawat Air Asia penerbangan AK5651.

Dia juga membuat lawatan sehari ke Miri pada 6 Mac dan mula menunjukkan gejala-gejala pada 8 Mac dan disahkan positif dengan Covid-19 pada 9 Mac.

Berikutan kes itu, Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa semua mereka yang hadir pada perhimpunan tabligh berkenaan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka menunjukkan sebarang gejala.

Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Negeri (CPRC) atau merujuk kepada nasihat kesihatan maya melalui laman web Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Beliau berkata mereka juga boleh mendapatkan nasihat perubatan percuma menerusi aplikasi BookDoc.

“Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dengan cara yang betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng muka (face mask),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka digalakkan untuk mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut.

“KKM juga ingin menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 berlaku.

“Sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan,” katanya.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19 manakala mereka yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di negara ini semasa cuti sekolah.

Tinggalkan komen anda