Kes Covid-19 dijangka cecah 6,000, tapi KKM dalam usaha kurangkannya


shadow

Kementerian Kesihatan menjangka peningkatan kes positif Covid-19 menjelang bulan depan, tetapi berharap langkah yang sedang diambil pada masa ini untuk membendung penularan wabak akan dapat menghalangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pemerhatian kementerian dan laporan oleh badan penyelidik JP Morgan, Malaysia mungkin merekodkan jumlah kes melebihi 6,000 pada pertengahan April.

“Tetapi kita telah laksana kegiatan kesihatan awam dan juga dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita harap dapat mengesan kes-kes positif untuk diasingkan dan diberi rawatan.

“Diharap dengan tindakan kita, dapat kurangkan kes (daripada mencecah 6,000).

“Inilah sasaran kita, untuk melandaikan graf (peningkatan kes),” katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada Kementerian kesihatan menjangka bilangan kes Covid-19 akan berkurang dengan lanjutan PKP kepada 14 April ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Noor Hisham berkata lagi, amat penting untuk melandaikan graf jangkitan wabak tersebut agar perkhidmatan kesihatan dapat menampung kes-kes yang ada.

Tinggalkan komen anda