Kad kesihatan mengandungi klorin dioksida tidak mencegah COVID-19


shadow

Pembasmian kuman atau virus tidak akan berlaku apabila seseorang itu menggantung kad kesihatan (health tag) yang mengandungi bahan kimia klorin dioksida (chlorine dioxide).

Menurut catatan di laman Facebook Pusat Racun Negara, gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung untuk mencegah jangkitan kuman atau virus khususnya COVID-19.

“Lebih membimbangkan adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan.

“Kesannya pemakai mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang disarankan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakan sosial,” tulis agensi itu.

Mengulas lanjut, agensi itu menyatakan ia adalah hasil kajian khusus tentang keberkesanan produk seumpama itu yang telah dijalankan dan diterbitkan melalui artikel “Hidekazu NISHIMURA”, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide. Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226. July 2017.”

Umumnya, Chlorine Dioxide adalah gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.

Kad kesihatan itu menjadi tular dan laris penjualannya melalui atas talian kononnya bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide kepada pemakainya.

Sebelum ini, turut tular isu penggunaan herba daun semambu untuk rawatan COVID 19.

Pakar Epidemiologi, Prof. Datuk Dr. Awang Bulgiba berkata rawatan dengan daun semambu pernah diuji untuk penyakit lain, bukan COVID-19, namun didapati tidak berkesan.

Tinggalkan komen anda