Idris Elba positif Covid-19


shadow

Pelakon terkenal Hollywood, Idris Elba disahkan positif Covid-19 pada hari ini.

Bintang dari United Kingdom itu mengesahkan dirinya dijangkiti wabak itu menerusi Twitter rasmi miliknya.

“Pagi ini saya disahkan positif Covid-19. Keadaan saya okay, tidak mengalami sebarang simptom tetapi terpaksa dikuarantin.

“Orang ramai diminta duduk di rumah dan kekal pragmatik. Saya akan kemaskini kesihatan saya. Jangan panik,” tulisnya.

Katanya, dia menjalani ujian selepas berjumpa dengan seorang yang positif virus berkenaan.

Bintang berusia 47 tahun itu menasihatkan supaya semua orang menjarakkan diri dan menjaga diri bagi mengelak penularan wabak itu.

“Kita kini berada dalam dunia berpecah-belah, bagaimanapun inilah masanya sekarang untuk bersolidariti dan memikirkan mengenai orang lain. Ramai yang terjejas akibat virus ini,” pesan beliau.

Elba yang pernah membintangi francais filem aksi Fast & Furious dan filem adiwira Thor menjadi antara selebriti yang disahkan positif wabak itu.

Sebelum ini, Tom Hanks dan isterinya, Rita Wilson juga disahkan dijangkiti Covid-19.

Sumber: AFP

Tinggalkan komen anda