Hentikan operasi Pasar Awam Pulau Pinang jika peniaga gagal patuhi arahan – PBT


shadow

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri akan menghentikan pengoperasian pasar awam sekiranya peniaga gagal mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Empat pasar awam yang menjadi kawasan tumpuan di bahagian pulau ialah Air itam; Jalan Perak; Bayan Baru; dan Jelutong manakala di Seberang Perai ialah Pasar Awam Kepala Batas; Bagan Ajam; Kampung Baru; Sungai Dua; Taman Selamat; Taman Berjaya; Taman Chai Leng; Penanti; dan Tasek Mutiara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengehadkan bilangan pengunjung ke pasar awam dalam satu-satu masa dengan mengadakan hanya satu pintu masuk dan keluar yang diuruskan oleh persatuan peniaga.

“Peniaga juga diminta untuk membuat jadual pusingan perniagaan sepanjang tempoh PKP selain mengehadkan dua orang pelanggan di sebuah gerai atau kaunter serta menyediakan cecair pembasmi kuman di gerai masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Selain itu, aktiviti penyembelihan ayam dan itik di pasar juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut dan hanya ayam dan itik bersih dibenarkan untuk dijual, katanya sambil memberitahu bahawa seramai 4,800 kakitangan PBT bertugas di lapangan terutama di lokasi berisiko tinggi seperti pasar awam.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang pada sidang akhbar yang sama berkata gerai-gerai di tepi jalan di Pasar Pulau Tikus akan ditutup mulai esok sepanjang tempoh PKP.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata MBSP turut melakukan kerja-kerja disinfeksi di kawasan pasar awam pada setiap dua hari manakala lokasi yang kerap disentuh seperti selusur tangan, pintu, mangkuk tandas, tempat membuang air kecil untuk lelaki, sinki, pili air dan pintu tandas akan disinfeksi setiap satu jam, katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pasar Awam Air Itam hari ini mendapati pengunjung pasar itu kini lebih teratur dan mempraktikkan jarak antara satu sama lain sekurang-kurangnya satu meter dan terus pulang sebaik membeli keperluan harian di pasar yang sememangnya menjadi tumpuan penduduk di kawasan berkenaan.

Selain itu, hanya satu laluan dibuka untuk masuk dan satu lagi laluan untuk keluar dengan penguat kuasa MBPP mengawal kedua-dua laluan itu bagi memastikan hanya sejumlah pengunjung dibenar masuk ke dalam pasar pada satu-satu masa dan cecair pembasmi kuman turut disediakan.

Semalam, pihak MBPP telah mengarahkan penjaja di tepi jalan di sekitar kawasan Pasar Awam Air Itam untuk menutup gerai mereka bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dan orang ramai tidak berkumpul di kawasan berkenaan.

Tinjauan di Pasar Awam Apollo dekat Raja Uda di Butterworth pula mendapati pengunjung di pasar itu berkurangan hari ini, tidak lagi sesak seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

SUMBER- BERNAMA

Tinggalkan komen anda