Bekas pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, A Kadir Jasin menuliskan sajak mengenai perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad, pada hari Muhyiddin Yassin memulakan tugasnya secara rasmi di Putrajaya.
Kadir yang sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat media dan komunikasi Mahathir dilihat antara tokoh lingkunang dekat dengan ahli parlimen Langkawi itu.
Untuk rekod, beliau juga seorang penulis blog yang banyak diikuti kerana pandangannya.
Kadir memuat naik sajak beliau – dengan diiringi suasana di pejabat perdana menteri – di media sosial awal pagi tadi.
Berikut ialah nukilan Kadir:
Hari ini dia tidak akan berdiri di sini lagi
di jendela inspirasi
merenung jauh mengikuri jalan hias
ke arah vista yang jauh dan luas.
Jendela ini dialah yang bina
dan di sinilah juga
untuk satu masa yang lama
dia mentadbir membina Malaysia
sampai semerbak ke serata dunia
inilah tempatnya, Perdana Putra.
Hari ini dia tidak berada di sini lagi
suara-suara kasar dan tangan-tangan keras
telah menolak dia pergi tanpa rasa simpati
kerana mereka bercita-cita tinggi
kononnya penyelamatkan ibu pertiwi.
Dia akan pergi
kerana dia ada harga diri
dia tidak akan terima
penyamun dan pencuri
semata-mata untuk jawatan tinggi.
Aku tidak akan menyekat laluannya
kerana dia sudah berbakti terlalu lama
mungkin sudah sampai masa
seperti burung kembara
yang telah merentasi banyak lautan
dia berhak singgah di pasir merehatkan badan.
Atau siapa boleh berkata
masa untuknya sudah berlalu
sedangkan Tuhan menentukan segala
maka dia bangkit seperti phoenix dari debu
untuk menjulang semula panji-panji negara.
Namun, apa pun penentuannya
kita tetap berdoa dan berusaha
agar dia sentiasa dijaga, dipelihara
oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Tinggalkan komen anda