Hari 87: Perbicaraan kes SRC International Najib masuk peringkat akhir


shadow

Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta semakin hampir kepada penghujungnya.

Peguam Najib menyasarkan peringkat pembelaan akan diselesaikan pada Isnin ini.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah membayangkan pihaknya mungkin dapat menyelesaikan keterangan semua saksi mereka dalam prosiding isnin ini.

Oleh kerana Shafee perlu ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi ini, perbicaraan hari ini dijadual bermula agak lewat iaitu pada pukul 2.30 petang.

Pada perbicaraan hari ini, dijangka bekas penasihat undang-undang MIC Selva Mookiah akan memberi keterangan sebagai saksi.

Dia didakwa bersama-sama pasukan siasatan SPRM ke Riyadh, Arab Saudi pada akhir November 2015. Ia sebahagian daripada siasatan terhadap isu derma RM2.6 bilion melibatkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

Semalam, peguam turut menyerahkan tiga keterangan SPRM kepada mahkamah, antaranya berkenaan dakwaan ahli perniagaan Jho Low bahawa dia tidak mengawal akaun bank Najib dan tiada kuasa untuk membuat keputusan dalam 1MDB dan subsidiarinya, SRC International.

Satu lagi keterangan SPRM ialah oleh Tan Kim Loong, yang dikatakan menjadi pemilik benifisiari untuk beberapa syarikat yang menyalurkan jutaan ringgit kepada Najib. Dalam keterangannya, Tan antara lain mendakwa dia tidak tahu siapa yang menerima wang itu.

Tinggalkan komen anda