Perbicaraan terhadap Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, hari ini masuk hari ke-14 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dengan dakwaan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.
Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.
10.03 pagi – Perbicaraan bermula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Saksi, peguam siap untuk prosiding
10.00 pagi – Prosiding akan bermula sebentar lagi, Rosmah Mansor masuk ke kandang tertuduh.Peguam bela Rosmah, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh serta DPP mengambil tempat di bilik mahkamah.
Turut kelihatan, bekas ketua pengarah Kementerian Pendidikan Alias Ahmad, yang merupakan saksi pendakwaan ke-12.
Hari ini, Alias, dijangka menyambung semula keterangannya. Semalam, beliau telah memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau telah menerima satu minit daripada perdana menteri ketika itu Najib Razak yang mengarahkannya untuk membayar pendahuluan sebanyak RM130 juta kepada Jepak Holdings.
Menurutnya, minit itu ditulis melalui surat oleh Jepak kepada Najib, yang diterima Alias menerusi mesej Whatsapp.
Bagaimanapun, menurut saksi, Kementerian Kewangan telah menolak permohonan untuk membayar sebanyak RM130 juta terlebih dahulu kepada Jepak, dengan hanya nilai 25 peratus atau RM10 juta yang boleh dibayar kepada syarikat itu sebelum sesuatu projek dimulakan.
Alias juga memberi keterangan bahawa beliau telah dihubungi oleh Rizal Mansor, yang kemudiannya menjadi pembantu kepada Rosmah, meminta agar pembayaran kepada Jepak diturunkan.
Pemeriksaan balas pembelaan kemudian menyaksikan peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader mengasak saksi tersebut, termasuk menuduh Alias gagal mengendalikan kementerian itu sebagai pegawai yang bertugas mengawasi dan mengarahkan pelaksanaannya.
Tinggalkan komen anda