Covid-19: Penerbangan, hotel digesa ketepi caj pembatalan biasa


shadow

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) meminta pembekal perkhidmatan pelancongan, terutamanya syarikat penerbangan dan hotel, mengenepikan caj pembatalan biasa, bagi mengelakkan ejen pelancongan mengalami kerugian berganda, berikutan pembatalan atau menunda percutian akibat Covid-19.

Presiden Matta Tan Kok Liang dalam satu kenyataan berkata pembatalan yang berlaku baru-baru ini menyebabkan operator pelancongan menanggung kerugian yang dianggarkan berjumlah RM500 juta yang telah dikutip daripada pelanggan, untuk pakej pelancongan selepas bulan Februari.

Katanya Matta menerima aduan daripada ejen pelancongan berikutan amalan tidak sama oleh syarikat penerbangan yang bukan sahaja tidak adil kepada ejen pelancongan, tetapi mengelirukan orang ramai dengan menawarkan bayaran balik secara penuh atau sebahagian, kepada penumpang yang menempah secara terus dengan mereka, tetapi tidak kepada ejen pelancongan yang telah membuat tempahan berkumpulan.

“Akibatnya, ejen pelancongan telah dituduh menipu,” katanya dan menambah ini masanya syarikat penerbangan perlu berhenti melakukan diskriminasi, terhadap ejen pelancongan.

Tan juga berkata dalam kebanyakan kes, syarikat penerbangan dan hotel, tidak memberikan bayaran balik bagi pembatalan tempahan dan bayaran balik jika ada, mungkin diberikan dalam bentuk kredit, yang memerlukan pelanggan menempah tiket penerbangan atau bilik (hotel), dalam tempoh masa yang ditentukan syarikat penerbangan dan hotel berkenaan.

“Para pelanggan yang mahu mendapatkan pembayaran balik penuh adalah tidak mengikut amalan biasa industri global, yang menetapkan pembayaran perlu dibuat terlebih dahulu untuk mendapatkan tempahan dan sebarang pemulangan adalah tertakluk kepada polisi pembatalan pembekal, seperti syarikat penerbangan, hotel atau taman tema.

“Di Malaysia, ramai pelanggan telah membuat pembayaran penuh untuk pakej pelancongan, terutama dari Februari hingga Jun, manakala ejen pelancongan pula telah membayar kepada syarikat penerbangan, hotel dan pembekal lain, bagi pihak pelanggan mereka,” katanya.

Ejen pengembaraan dan operator pelancongan, katanya bersedia menjelaskan dan membantu pengguna tetapi panik yang timbul disebabkan jangkitan Covid-19, turut menyebabkan ramai pelanggan menuntut pembayaran penuh, juga mendapatkan tindakan undang-undang.

“Meskipun menjadi mangsa, kami berharap syarikat penerbangan, hotel dan orang ramai dapat melayan ejen pelancongan dengan adil.

“Masalah utama isu ini adalah pelanggan tidak didesak untuk membuat pembatalan. Sebaliknya pelanggan yang membatalkan tempahan, disebabkan bimbang dijangkiti Covid-19,” kata Tan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda