PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilarang mengagih bantuan secara terus kepada penerima bagi mengelak terdedah daripada jangkitan COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, sesetengah NGO tidak berpuas hati dengan keputusan agar bantuan dihantar ke pusat pengumpulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Keputusan tersebut diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan untuk menjaga keselamatan ahli NGO yang terlibat.
“Sekiranya mereka hantar sendiri kepada penerima dan tidak tahu penerima itu bersih daripada COVID-19 atau tidak, kita bimbang kemungkinan ada dalam kalangan NGO yang dijangkiti dan akhirnya merebak kepada ahli lain dan keluarga mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun mereka ingin menyumbang, kerajaan mesti jaga kepentingan kesihatan dan nyawa mereka.
“Kerajaan menghargai peranan NGO dalam membantu masyarakat yang memerlukan namun mereka perlu memahami sebab keputusan itu diambil,” katanya.
Tinggalkan komen anda