COVID-19 : Di mana Zakat dan Baitulmal


shadow

Ketika negara dilanda krisis wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dilanjutkan sehingga 14 April depan, banyak pihak terkesan terutamanya rakyat yang berpendapatan sederhana seperti peniaga kecil, pekerja harian dan lain-lain kehilangan sumber pendapatan.

Pelbagai insentif dan bantuan daripada pihak kerajaan telah disediakan untuk membantu golongan ini. Termasuk juga badan bukan kerajaan (NGO), orang awam yang prihatin dan berkemampuan berebut-rebut mengumpulkan dana serta turun padang bagi menghulurkan bantuan.

Tetapi dimanakah agensi Zakat dan Baitulmal yang sepatutnya lebih ke hadapan dan bertindak awal untuk membantu rakyat dalam kesusahan ini?

Tugas mereka bukanlah hanya sekadar mengemaskini di laman web dan media sosial untuk menyebarkan maklumat di dalam bilik berhawa dingin, sambil duduk di atas kerusi empuk sahaja. Ia tidak cukup efektif.

Orang-orang tua dan tidak berkemampuan belum tentu memiliki telefon pintar ataupun tahu cara untuk memohon bantuan melalui atas talian (online).

Pihak Zakat dan Baitulmal sewajarnya keluar membantu, dan jika perlu mohonlah kebenaran dari pihak berkuasa untuk turun ke kawasan masing-masing. Mereka boleh berhubung dengan ketua masyarakat seperti ketua kampung/penghulu, ketua blok untuk mendapatkan maklumat golongan yang memerlukan.

Sekarang adalah waktu ketika negara berhadapan dengan satu krisis global yang tidak diketahui bila pengakhirannya. Pihak Zakat dan Baitulmal seharusnya ‘cerdas’ dalam mencari inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

Mengutip zakat, menjaga wang zakat, dan mengagihkannya adalah amanah yang diberikan. Bukan hanya sekadar duduk goyang kaki menanti orang datang meminta bantuan.

Tinggalkan komen anda