Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 44 kes baharu sekaligus menjadikan jumlahnya sebanyak 259 kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan dibenarkan discaj daripada wad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, memberitahu terdapat 130 kes baharu yang telah dilaporkan dalam negara setakat tengah hari tadi, ia menjadikan jumlah keseluruhan 2,161 kes dengan jumlah kematian terkini mencatat 26 orang.
“Terdapat tiga lagi kematian akibat COVID-19 direkodkan, termasuk satu kes yang disiarkan di laman Facebooknya, pagi tadi,” katanya.
Selain itu, seramai 54 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Menurutnya, kes kematian ke-25 merupakan kes ke-2032, seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Mangsa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 6.55 petang.
Manakala, kes kematian ke-26 (kes ke-1321), adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes 1309). Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 27 Mac 2020 pada 10.30 pagi.
Terdahulu, kes kematian ke-24 (kes ke-1056) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Pesakit dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 26 Mac 2020 jam 9.30 malam.
Pihak KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.
Tinggalkan komen anda