Bersatu kini mempunyai dua setiausaha agung, dengan masing-masing menyokong pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad dan presiden parti Muhyiddin Yassin.
Kekusutan berlaku susulan pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu oleh Muhyiddin. Bagaimanapun menurut Mahathir, tindakan itu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi peraturan parti.
Menurut Mahathir, peraturan tersebut menyatakan bahawa dirinya mesti dirujuk mengenai penyingkiran atau pelantikan seorang setiausaha agung dan syarat itu tidak dipenuhi.
Hari ini, Muhyiddin mengumumkan bahawa beliau telah melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung baru berkuatkuasa 18 Mac.
“Sehubungan itu, segala tugas setiausaha agung seperti yang termaktub dalam perlembagaan Bersatu hendaklah dijalankan oleh Hamzah Zainuddin,” kata Muhyiddin yang juga adalah perdana menteri.
Hamzah turut dilaporkan telahpun memulakan tugasnya sebagai setiausaha agung. Malaysiakini telah melihat surat yang ditulis oleh Hamzah yang mengarahkan semua cawangan parti yang masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan mereka untuk menangguhkannya.
Surat dengan arahan sama yang dihantar oleh Marzuki sebelum ini dikatakan tidak sah.
Tinggalkan komen anda