Bekalan ubat ‘Chloroquine’, ‘Hydroxychloroquine’ dan kombinasi ‘Lopinavir atau Ritonavir’ yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk kegunaan rawatan penyakit lain dan boleh digunakan untuk rawatan COVID-19 telah sedia ada di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, bekalan ubat-ubatan yang memerlukan pengimportan seperti Favipiravir dan Remdesivir akan sentiasa dimudah cara oleh Kementerian Kesihatan bagi kegunaan rawatan COVID-19.
Beliau berkata, bagi ubat kajian Remdesivir, Malaysia dipilih oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk terbabit dalam kajian klinikal ‘Multicenter Adaptive Solidarity trial – COVID-19’ yang ubat kajian itu akan digunakan.
“NPRA akan menyediakan laluan ‘expedited review’ untuk membawa masuk produk kajian klinikal ini ke Malaysia secepat mungkin. Bagi ubat Favipiravir, kementerian sedang mendapatkan ubat ini daripada pembekal,” katanya di laman rasmi Facebooknya, malam tadi.
Menurutnya, sekiranya bekalan daripada pihak pemegang pendaftaran sedia ada untuk ubat-ubatan tidak mencukupi, kementerian masih boleh mendapatkan bekalan alternatif daripada produk yang tidak berdaftar dengan menggunakan pengecualian peruntukan undang-undang kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin demi kepentingan pesakit,” katanya.
Tinggalkan komen anda