Bank tawar bantuan, penangguhan sementara kepada pelanggan PKS, individu


shadow

AmBank Group menawarkan penangguhan sementara sama ada kepada pelanggan individu atau perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

AmBank Group dalam kenyataan hari ini berkata ia terlibat secara proaktif dengan pelanggan menerusi Pengurus Perhubungan untuk melanjutkan bil perdagangan mereka dengan satu kitaran bagi memangkin kesan pandemik itu ke atas aliran tunai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sulaiman Mohd Tahir berkata kumpulan itu turut menawarkan Kemudahan Bantuan Khas melibatkan pembiayaan sehingga RM1 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas akibat Covid-19.

“AmBank telah mewujudkan proses mudah kepada sesiapa yang ingin membuat permohonan kemudahan ini dengan kelulusan akan diberikan dalam tempoh 24 jam dan pembayaran dalam tempoh lima hari selepas kelulusan, dan kami dalam usaha memendekkan tempoh pembayaran.

“Selain itu, kami menjejaki pelanggan PKS kami di seluruh sektor ekonomi yang menerima impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini untuk mencari jalan bagaimana kami boleh memberi khidmat dalam tempoh yang sukar ini,” kata Sulaiman.

Beliau berkata bank itu juga akan menyemak semula keperluan program tambahan bagi menangani keperluan kredit dan pembiayaan pelanggan individu.

Sementara itu, cabang insurans kumpulan itu AmMetLife dan AmMetLife Takaful turut memperkenalkan bantuan kewangan sokongan untuk membantu pemilik polisi yang terjejas akibat Covid-19.

– Bernama

Tinggalkan komen anda