Afif dilantik jadi pegawai di pejabat Azmin?


shadow

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dispekulasikan telah dilantik sebagai pegawai tugas-tugas khas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang diterajui Mohamed Azmin Ali.

Carian Google berdasarkan kekunci ‘Afif Bahardin MITI’ memaparkan nama Adun PKR itu disenaraikan bagi jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, nama Afif tidak tersenarai apabila pautan paparan salah satu carian itu dibuka. Pautan itu membawa kepada laman web rasmi kementerian.

Bagaimanapun, salah satu pautan pada laman web rasmi kementerian itu membawa kepada ‘pop up’ yang memaparkan profil Afif.

Ketika dihubungi, Afif, yang sebelum ini dikaitkan sebagai antara orang kanan Azmin, memberi gambaran bahawa pelantikan berkenaan tidak benar.

Malah, Afif berkata dia masih menunggu keputusan sama ada dia masih ahli PKR atau tidak.

“Saya tak tahu kenapa saya menjadi tumpuan dalam parti yang masih menganggap saya sebagai ancaman. Macam yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya hanya menunggu keputusan parti sama ada memecat saya atau tidak.

“Saya rasa, dalam masa Covid-19 ini, tumpuan wajar diberikan untuk membantu rakyat yang benar-benar terkesan dan saya akan terus memberikan khidmat saya kepada penduduk di Seberang Jaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Afif yang juga bekas exco Pulau Pinang itu merupakan penyokong Azmin ketika bekas timbalan presiden PKR itu masih di dalam PKR.

Afif meletakkan jawatannya selaku exco Pulau Pinang pada 4 Mac kerana didakwa menerima “tekanan” daripada PKR sendiri.

Ketika Langkah Sheraton digerakkan pada 23 Februari lalu bagi menumbangkan kerajaan PH, Afif turut hadir, namun katanya, kehadirannya itu hanyalah untuk memantau keadaan sebelum melaporkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, meskipun setelah Azmin keluar dari PKR bersama sepuluh wakil rakyat lain sehari selepas Langkah Sheraton, setakat ini Afif masih kekal ahli PKR.

Bagi Ketua Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol, sekiraanya berita tersebut benar, maka dia merasakan Afif wajar berundur diri secara terhormat daripada PKR.

“AMK Pulau Pinang minta Afif berundur secara terhormat jika betul. Sebab laman web tersebut tidak perincikan maklumat Dr Afif (tugasan terperinci).

“Jika betul, biarlah berundur secara terhormat. Jika salah, baguslah,” katanya ketika dihubungi.

Malaysiakini sudah menghubungi pegawai Azmin untuk mendapatkan maklum balas berkenaan hal ini.

Sementara itu, dalam hantaran Instagram yang dimuat naik bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Hilman Idham pada 12 Mac lalu, Afif dilihat duduk di meja bersama Azmin di sebuah pejabat.

Individu lain yang kelihatan pada gambar itu ialah setiausaha sulit Azmin, Tengku Maraziyah Tengku Sulaiman dan setiausaha akhbar Azmin, Woon King Chai.

Hantaran itu disertakan dengan keterangan “Back to work” (kembali bekerja).

Hilman merupakan salah seorang daripada 27 yang dipecat dari PKR sebelum ini, dan merupakan setiausaha politik Azmin.

Tinggalkan komen anda