18 ADUN PKR Selangor setia, sokong kerjasama PH


shadow

KUALA LUMPUR: Lapan belas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Selangor terus setia dengan idealisme perjuangan parti di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Serentak itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor terus memegang teguh persefahaman demi kepentingan mengangkat martabat rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar, berkata semua ADUN PKR Selangor tetap memberikan sokongan padu kepada PH demi mengukuhkan bekerjasama dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pada saat rakyat diselubungi kekeliruan dan ketidaktentuan, pimpinan PH Selangor memegang teguh persefahaman demi kepentingan mengangkat martabat rakyat.

“MPN PKR Selangor juga menyeru anggota mengukuhkan tekad dan membulatkan muafakat untuk memenuhi mandat rakyat Selangor,” katanya yang juga ADUN Sungai Tua dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, PKR Selangor juga terus setia dan bekerjasama dengan rakan-rakan parti dalam PH, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta terus bekerja kuat bagi memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

Ahad lalu, Amirudin menegaskan, Kerajaan Selangor masih ditadbir oleh PH dan beliau akan melihat kedudukan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kerajaan negeri selepas pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan selesai.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ketika ini diisi PKR dengan 21 kerusi, DAP (16), AMANAH (8), BERSATU (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1). PH masih mempunyai 45 kerusi walaupun BERSATU keluar daripada gabungan yang membentuk kerajaan negeri sebelum ini.

Tinggalkan komen anda