12 ditahan disyaki edar rokok seludup RM5j


shadow

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran lebih enam juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM5 juta di sekitar Jinjang dan Kepong.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani, berkata dalam operasi pertama di Jinjang pada Jumaat, lapan lelaki berusia lingkungan 24 hingga 53 tahun ditahan.

Beliau berkata polis merampas lebih 2.3 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai hampir RM1.7 juta serta tujuh kenderaan termasuk lori dan van bernilai RM450,000.

“Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga esok (hari ini) mengikut Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut manakala hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Acryl Sani berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes kedua, Acryl Sani berkata, empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran lebih 4.4 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM3.3 juta di sekitar Kepong kelmarin.

Beliau berkata polis turut merampas dua buah lori yang dianggarkan bernilai RM18,000.

Kesemua suspek – yang berusia lingkungan 37 hingga 42 tahun – direman selama empat hari sehingga Selasa mengikut Seksyen 116(c) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut dan hanya seorang daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda