Tuanku Muhriz terima menghadap MB


shadow

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini menghadap dan memberi taklimat berkaitan politik semasa kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Baginda menitahkan Aminuddin menghadap bagi mendengar taklimat itu.

Aminuddin berkata Tuanku Muhriz mahu mendapatkan maklumat mengenai perkembangan politik semasa negara dan Negeri Sembilan.

Katanya, beliau menyembah maklum mengenai keadaan politik di Negeri Sembilan ketika ini dalam situasi baik dan mahu rakyat mendoakan kekal begitu.

“Tuanku bertanyakan keadaan politik semasa. Negeri Sembilan berada dalam keadaan okay,” katanya ketika ditemui media di luar pintu istana selepas selesai menghadap.

Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memasuki perkarangan Istana Hinggap dengan menaiki kenderaan rasmi tiba pada jam 10.27 pagi dan keluar pada jam 11.05 pagi.

Menjawab soalan sama ada akan diadakan perjumpaan dengan barisan kepemimpinan PH dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dalam masa terdekat, beliau berkata perkara itu akan dimaklumkan.

“Kita akan maklumkan (mengenai perjumpaan dengan wakil rakyat),” katanya yang difahamkan bergerak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat PKR.

Ketika ini kerajaan PH di Negeri Sembilan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei 2018, menerusi gabungan wakil rakyat dari DAP sebanyak 11 kerusi, PKR (enam) dan Parti Amanah Negara (tiga).

Pembangkang daripada gabungan Barisan Nasional (BN) membabitkan UMNO sebanyak 15 kerusi dan seorang wakil daripada MIC.

Tinggalkan komen anda