TOMMY Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara Malaysia, sekali gus mengakhiri tugas selama hampir dua tahun mengendalikan kes berprofil tinggi termasuk kes perbicaraan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib Razak.
Peletakan jawatan beliau dibuat ketika pertukaran kerajaan hampir pasti berlaku, berkemungkinan akan menyebabkan perbicaraan kes bekas perdana menteri itu, isterinya Rosmah Mansor dan kes rasuah lain terhenti buat sementara.
Beberapa sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa Tommy bertemu dengan perdana menteri interim Dr Mahathir Mohamad awal hari ini untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya.
Tommy dilantik oleh Dr Mahathir sebagai Peguam Negara dan memandangkan Dr Mahathir akan menamatkan tugas sebagai perdana menteri, ia merupakan langkah tepat untuk Tommy mengosongkan jawatan itu.
Pemilihan Tommy sebagai Peguam Negara merupakan satu kejutan selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun kerajaan PH tumbang pada Isnin lalu selepas Bersatu umum keluar Pakatan.
Sebelum ini, Peguam Negara biasanya dipilih dalam kalangan Pejabat Peguam Negara atau badan kehakiman.
Thomas menempa namanya sebagai peguam yang sering mewakili individu dan kumpulan bagi mencabar golongan elit.
Walaupun pelantikannya dialu-alukan oleh kumpulan sivil dan rakyat Malaysia yang percaya kemenangan PH sebagai era baharu Malaysia, namun kumpulan pendesak Melayu serta Umno dan PAS menyuarakan kemarahan apabila jawatan itu diberikan kepada bukan Melayu.
Beberapa keputusan beliau mengundang kemarahan mereka termasuk keputusan menubuhkan inkues siasatan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan kuil di Subang Jaya pada Disember 2018.
Paling baru, Tommy menggugurkan pendakwaan terhadap 12 individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Beliau mengeluarkan kenyataan setebal 11 muka surat untuk menyatakan sebab bahawa sukar untuk memenangi kes itu dan demi kepentingan keadilan, kes itu digugurkan.
Keputusan itu walaupun dipuji oleh peguam, diselar oleh kalangan pemimpin PH sendiri termasuk Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin yang menuduh Tommy mengatasi kuasanya.
Tinggalkan komen anda