Tempoh kuarantin kes koronavirus kekal 14 hari, kata menteri


shadow

TIADA keperluan untuk melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada 24 hari bagi mengesan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) buat masa ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata walaupun terdapat kajian di China mengatakan tempoh inkubasi virus itu mencecah 24 hari, kementerian setakat ini mengambil pendirian bahawa kajian yang lebih mendalam perlu dibuat berhubung perkara itu.

“Saya dapat input daripada perbincangan dengan pakar kementerian, (jika) menetapkan 24 hari tempoh inkubasi itu akan membawa implikasi pelbagai. Ia satu perkara yang sukar untuk kami terima ketika ini.

“Pelbagai penyelidikan akan bentangkan dapatan mereka, namun untuk ketika ini kami ambil sikap ia (dapatan kajian) adalah tentatif atau sementara, sehingga dapat pengesahan oleh pihak kami sendiri dan pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia),” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan terkini 2019-nCov, hari ini.

Media hari ini melaporkan data terbaru berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit coronavirus di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dikatakan sebelum ini.

Dalam keperkembangan sama, Dzulkefly berkata tiada kes baharu positif 2019-nCoV di Malaysia setakat petang ini, menjadikan kes positif kekal 18 orang, dengan tiga daripadanya disahkan sembuh dan bebas virus itu serta dibenarkan keluar hospital.

Beliau berkata 12 kes adalah warganegara China manakala enam orang adalah rakyat Malaysia.

Tinggalkan komen anda