HASIL semakan pihak ketiga yang dimulakan oleh Airbus SE pada September 2014 mendapati tawaran AS$55 juta kepada AirAsia Group Bhd tidak pernah dibuat, menurut dokumen mahkamah yang didedahkan Serious Fraud Office (SFO) di United Kingdom.
Antara Oktober 2013 dan Januari 2015, European Aeronautic Defence and Space Company (EADS France SAS) kemudian ditukar kepada Airbus Group SAS, membayar AS$50 juta sebagai tajaan kepada pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2 namun tiada kaitan dengan AirAsia dan AirAsia X.
Pekerja Airbus turut ditawarkan tambahan AS/455 juta, namun tawaran itu tidak pernah dimuktamadkan dan tiada bayaran dibuat.
“Eksekutif AirAsia 1 dan Eksekutif AirAsia 2 merupakan pembuat keputusan utama dalam AirAsia dan AirAsia X dan diberi ganjaran berkenaan dengan tempahan 180 pesawat dari Airbus.
“Bayaran kepada pasukan sukan itu bertujuan untuk menjamin atau memberi ganjaran yang tidak wajar oleh mereka berkenaan dengan perniagaan itu.
“Pada bulan September 2014 Airbus telah memulakan semakan mengenai hubungan pihak ketiga yang membawa kepada pembekuan semua SMO (Pertubuhan Strategi dan Pemasaran) pembayaran antarabangsa bagi pihak bahagian komersial,” menurut dokumen itu.
Pada Disember 2014, SMO International, yang merupakan satu bahagian di dalam syarikat itu, tidak lagi berada dalam kedudukan untuk memenuhi sebarang komitmen, oleh itu pembayaran AS$55 juta tidak pernah dibuat.
Tinggalkan komen anda