Tamrin Ghafar Beri keterangan di Bukit Aman


shadow

ANAK bekas timbalan perdana menteri Allahyarham Abdul Ghafar Baba iaitu Mohd Tamrin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini berhubung satu artikel berbaur hasutan di blog peribadinya.

Beliau yang hadir bersama peguam memberi keterangan selama tiga jam di Bukit Aman bermula pukul 11 pagi. 

Tamrin ketika ditemui pemberita di luar Bukit Aman berkata beliau memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung perkara ini.

“Saya jawab semua perkara yang ditulis dalam artikel itu kepada pihak polis untuk siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Risikan dan Operasi Mohd Roze Shaari ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Tamrin hari ini.

“Tamrin disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya 

Semalam, media tempatan melaporkan polis akan mengambil keterangan Tamrin yang dilapor memuat naik artikel di blog peribadi bertajuk “TMJ – Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar” pada 1 Februari lepas.

Artikel itu dipercayai merujuk kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – Bernama

Tinggalkan komen anda