Singapura tahan pelajar berusia 17 tahun sokong Isis


shadow

SEORANG pelajar lelaki sekolah menengah berusia 17 tahun pada Januari 2020 ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong kumpulan militan Islamic State (Isis) di Iraq dan Syria, menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) republik itu hari ini.

MHA berkata suspek mula disiasat pada September 2017 ketika dia hanya berusia 15 tahun selepas memuat naik imej Presiden Halimah Yacob yang dicacati di media sosial dan menggesa Isis memenggal beliau kerana menyokong Singapura, yang disifatkannya sebagai sebuah negara “kafir.”

“Dia telah diradikalkan oleh satu kontak asing secara online yang memperkenalkannya kepada kumpulan media sosial pro-ISIS pada 2017,” kata kementerian itu di laman sesawangnya.

Melalui kumpulan ini, MHA berkata suspek mendapat akses kepada apa yang dia percaya adalah kandungan eksklusif Isis. 

“Pada pandangannya, Isis adalah satu kumpulan kuat yang memperjuangkan Islam, oleh itu, penggunaan keganasan terhadap lawannya adalah wajar,” menurut kementerian itu.

MHA berkata meskipun pelbagai usaha dilakukan kementerian itu sejak 2017 untuk menjauhkannya daripada laluan radikal tersebut, suspek kekal menjadi penyokong kuat Isis.

“Dia sanggup membantu Isis dalam usaha propaganda kumpulan itu secara online dan melakukan aktiviti lain jika diminta berbuat demikian oleh Isis.

“Meskipun kerajaan khalifah Isis di Syria dan Iraq sudah terkubur, dia masih menaruh kepercayaan kepada kumpulan pengganas itu dan perjuangan ganasnya,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, MHA berkata tiada tanda-tanda bahawa suspek telah menyebarkan pandangan pro-Isisnya kepada orang sekeliling. 

Tinggalkan komen anda