Singapura beri jaminan pada rakyatnya bekalan makanan cukup


shadow

Kerajaan Singapura memberi jaminan kepada seluruh rakyatnya bahawa bekalan makanan negara itu adalah mencukupi, tidak perlu untuk berebut-rebut membeli bekalan seperti beras dan mee segera.

“Rantaian bekalan kita bagi barang-barang penting kekal utuh, tidak ada risiko kekurangan bahan makanan penting atau barang keperluan isi rumah,” menurut Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing di laman Facebook beliau.

“Kita juga ada simpanan barang-barang keperluan nasional,” katanya dan menambah kementeriannya juga sentiasa mempunyai berhubung rapat dengan pekilang.

Katanya beliau sedar terdapat banyak laporan mengenai orang ramai yang membeli barang makanan serta barang keperluan isi rumah di pasar raya.

“Ini mengakibatkan wujudnya gambar rak-rak makanan yang kosong di pasar raya kita yang berlegar di media sosial. Saya sedar orang ramai bimbang selepas pengumuman tengah hari tadi bahawa kita telah meningkatkan DORSCON (Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit) ke peringkat oren,”menurutnya.

“Kita buat demikian kerana pawa waktu ini sudah ada beberapa kes tempatan, tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini atau sejarah perjalanan ke China,” menurutnya.

“…. ini adalah senario yang kita sudah jangka dan kita buat persediaan, dan kita akan laksanakan langkah-langkah tambahan bagi meminimumkan risiko jangkitan seterusnya,” katanya.

Singapura semalam mengesahkan tiga kes tambahan jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu, menjadikan kes keseluruhannya kini berjumlah 33.

Singaputa turut meningkatkan penilaian risikonya dari DORSCON kuning kepada oren, memandangkan ketika ini suda ada beberapa kes jangkitan tempatan tanpa kaitan dengan kes-kes terdahulu atar sejarah perjalanan ke China.

DORSCON merupakan kerangka kerja ditanda dengan kod warna bagi menunjukkan keadaan semasa penyakit, di samping menetapkan apa yang perlu dilakukan bagi mengelak dan mengurangkan impak jangkitan.

Di antara kes-kes yang sudah disahkan, dua telah dibenarkan keluar hospital, manakala dua lagi dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi.

– Bernama

Tinggalkan komen anda