NAJIB Razak dalam keterangannya di mahkamah hari ini berkata beliau tidak “bodoh” untuk mengarahkan kroninya meletakkan wang untuk entiti Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ke dalam akaun bank peribadinya.
Ketika disoal balas hari ini, bekas perdana menteri itu menolak dakwaan pendakwa bahawa kroni bertindak atas pihaknya untuk menyalurkan RM42 juta ke akaun bank peribadinya antara Disember 2014 hingga Februari 2015.
Menjawab soalan peguam Farhan Read, Najib berkata tiada arahan untuk wang itu dimasukkan ke akaunnya.
“Tiada saksi yang berkata saya beri arahan itu. Tiada arahan bertulis. Tiada mesyuarat berlangsung. Tiada bukti wang itu ditawarkan kepada saya sebagai rasuah untuk membuat keputusan meluluskan jaminan kerajaan (bagi pinjaman RM4 bilion SRC International). Tiada asas untuk mengatakan saya tahu.
“Perlu saya katakan, saya sudah lama dalam kerajaan, tidak munasabah untuk ambil wang daripada syarikat MKD dan letak dalam akaun peribadi saya.
“Jika anda ada fikiran penjenayah, saya tentulah orang paling bodoh di negara ini untuk melakukannya begitu. Anda tidak akan ambil wang curi daripada geran masuk ke akaun bank peribadi anda. Ramai orang tentu tahu tentang itu. Bank Negara pun tahu.
“Saya mungkin bukan orang paling pandai, tetapi saya tidak sebodoh itu. Tidak ada bukti RM42 juta itu saya arahkan masuk ke akaun saya.”
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan tiga dakwaan pengubahan wang haram. Ahli Parlimen Pekan itu berdepan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Beliau diwakili pasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Tinggalkan komen anda