Polis ambil keterangan Najib, Rosmah minggu depan


shadow

POLIS akan mengambil keterangan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor minggu depan, bagi membantu siasatan pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Mohd Roze Shaari berkata pihaknya sedang mendapatkan tarikh sesuai bagi membolehkan kedua-dua mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan.

“Polis akan ambil keterangan mereka (Najib dan Rosmah) minggu depan namun kita sedang tunggu tarikh sesuai untuk mereka hadir ke Bukit Aman memandangkan mereka sibuk dengan proses mahkamah,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Mohd Roze dilapor berkata polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, Shukry Mohd Salleh dan Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain. 

Tinggalkan komen anda