PM: Kerajaan akan kaji semula undang-undang penyalahgunaan dadah


shadow

Kerajaan akan menilai dan mengkaji semula dasar serta undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah di negara ini termasuk hukuman mati mandatori.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah tersebut diambil bagi mengambil pendekatan yang lebih rasional dalam usaha menangani masalah berkenaan mengikut trend semasa.

“Saya percaya sudah sampai masanya kita menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend dadah semasa,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Anti Dadah Kenangsaan 2020 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Mahathir berkata undang-undang tersebut perlu dikaji kerana ia dilihat terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang-undang sekarang ini amat keras, kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan adalah hukuman mati.

“Maka banyak yang berpendapat bahawa ia tidak berkesan, masih ada mereka yang mencari duit yang tidak halal dengan mengedar dadah.

“Kita akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak, dan kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah, atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang, pada masa sama,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program tersebut.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata mereka yang menjadi penagih dadah tidak dianggap sebagai penjenayah.

“Namun demikian adalah penting bagi kita faham bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu perkara yang tidak baik, yang akan bawa mudarat, bukan sahaja kepada diri kita tetapi kepada keluarga, masyarakat dan kepada negara,” katanya.

Tinggalkan komen anda