Peter Anthony mahu saman fitnah laman berita


shadow

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal tempatan, kerana dipercayai melontarkan tohmahan serta memfitnahnya berhubung penganugerahan kontrak daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan polis, selain mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mengambil tindakan terhadap laman portal terbabit.

Katanya, kerajaan negeri pada hari ini sentiasa terbuka dan menerima apa sahaja kritikan diberikan oleh mana-mana pihak, namun biarlah kritikan tersebut membina dan bukannya menuduh secara melulu.

“Saya selaku menteri secara peribadi akan menyaman portal itu, kerana menuduh kita menyalahgunakan kuasa. Mereka juga tahu di peringkat kementerian, kita tidak ada kuasa melantik secara rundingan terus kepada kontraktor, tidak pernah.

“Tetapi, di peringkat Kementerian Kewangan boleh dan ia telah lama diamalkan bertahun-tahun sejak kerajaan Sabah ditubuhkan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu di Kota Kinabalu, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Peter terlibat dalam pemberian kontrak daripada JKR Sabah bernilai RM1.5 bilion tanpa tender.

Peter berkata laporan portal itu dilihat cuba melontarkan tuduhan tidak berasas sedangkan kementeriannya tidak terbabit dalam rundingan secara terus dengan mana-mana kontraktor di Sabah.

Beliau berkata konsesi dinyatakan dalam portal terbabit adalah konsesi diselaraskan semula, yang mana, konsesi tersebut dimiliki oleh sebuah syarikat yang diberikan kontrak, oleh kerajaan negeri terdahulu.

Bagaimanapun, hasil tinjauan kementeriannya mendapati kualiti kerja konsesi itu kurang memuaskan, justeru, pihaknya mencadangkan skop kerja konsesi berkenaan dikecilkan dan diselaraskan semula, bagi memberi peluang kepada kontraktor lain yang lebih berkualiti serta memenuhi piawaian ditetapkan, katanya.

“Konsesi ini mempunyai kontrak selama 15 tahun dan ditambah lagi 15 tahun oleh kerajaan terdahulu, tetapi, mereka tidak menjalankan kerja dengan berkualiti dan tidak bertanggungjawab.

“Justeru, bagi memperbaiki mutu dan kualiti kerja di seluruh daerah, kita di peringkat kementerian mencadangkan kontraktor bumiputera yang lain diberikan peluang, (dan sekiranya) mereka juga tidak membuat kerja dengan baik, kita akan buang dan gantikan dengan kontraktor baru,” katanya.

– Bernama

Tinggalkan komen anda