PEMIMPIN DAP mula tiba di ibu pejabat parti itu di Jalan Pudu hari ini untuk menghadiri mesyuarat peringkat tertinggi susulan spekulasi tentang rancangan penubuhan gabungan baharu di Putrajaya.
Antara yang dilihat sudah tiba ialah penasihat DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Bukit Bintang Foong Kui Lun, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, Speaker Selangor Ng Suee Lin, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.
Turut hadir ialah pemimpin parti di peringkat negeri dan beberapa yang memegang jawatan dalam kerajaan.
Mereka pada masa ini sedang menunggu ketibaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng daripada menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu di kediaman perdana menteri di Seri Kembangan.
Awal pagi tadi, Anwar, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim datang secara berasingan di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Putra Perdana, Putrajaya, tetapi kemudian keluar kira-kira jam 10.25 pagi menggunaka kenderaan rasmi masing-masing ke rumah Dr Mahathir.
Mohamad kemudian menyertai mesyuarat mereka di rumah Dr Mahathir.
Ketua Pemuda Sosialis DAP Howard Lee ketika ditanya agenda mesyuarat parti hari ini, hanya berkata “semua baik saja, kerja macam biasa”.
Sejumlah besar media mula menunggu di lobi bangunan ibu pejabat parti itu sejak 11 pagi, menjangka untuk mendapatkan berita tentang beberapa mesyuarat membabitkan beberapa parti politik yang berminat menubuhkan kerajaan baharu bersama parti Dr Mahathir, Bersatu.
Tinggalkan komen anda