Peguam Rosmah bantah ucapan pembukaan pendakwa


shadow

Perbicaraan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, berhubung dakwaan penyalahgunaan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


Peguam bantah ucapan pembukaan pendakwa

10.15 pagi: Dalam ucapan pembukaannya, pendakwa raya utama Gopal Sri Ram bercakap bagaimana Rosmah pada mulanya meminta 17 peratus daripada kos projek solar dan kemudian menerima rasuah dengan kadar peratusan lebih rendah.

Beliau berkata permintaannya diuruskan dengan bantuan bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor.

“Dia meletakkan dirinya dalam kedudukan di mana dia dapat mempengaruhi keputusan dalam sektor awam.

“Pendakwaan akan membawakan bukti langsung dan keadaan untuk menunjukkan bahawa tertuduh meminta suapan dan menerima suapan seperti yang didakwa dalam tuduhan yang dikenakan terhadapnya,” kata Sri Ram (gambar).

Beliau mengatakan bahawa Rosmah memperoleh RM6.5 juta dengan perolehan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk Jepak Holdings Sdn Bhd.

Peguam Jagjit Singh segera membidas dan meminta mahkamah mengenepikan bahagian yang tidak relevan yang beliau rasakan sebagai pembunuhan karakter terhadap anak guamnya.

Sri Ram mempertahankan ucapan pembukaannya dan mengatakan bahawa beliau perlu menetapkan sifat kes tersebut.

Sekali lagi, hakim tidak melayani permintaan peguam bela.

Perbicaraan dimulakan dengan saksi pendakwaan pertama, Huzaini Zainal Abidin iaitu bekas pegawai Jabatan Perdana Menteri memberi keterangan.


Peguam dakwa doktor rawat Rosmah rasa terancam

10 pagi:  Perbicaraan terhadap Rosmah bermula dengan peguam bela, Jagjit Singh mengadu bahawa doktor yang merawat Rosmah ketika di hospital berasa terancam.

Beliau mengatakan tindakan tersebut sebagai intimidasi dan meminta hakim Mohamed Zainal Mazlan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi.

Bagaimanapun, pendakwa utama, Gopal Sri Ram berkata doktor bebas membuat laporan polis jika dia berasa terancam.

Hakim mengatakan ia berada di luar bidang kuasa mahkamah untuk bertindak seperti yang diminta oleh peguam bela.


Rosmah hadir di mahkamah walaupun tidak sihat

9.50 pagi: Rosmah Mansor muncul di mahkamah untuk menghadiri perbicaraan pada hari pertama berhubung kes projek solar walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.

Isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu sepatutnya menghadapi perbicaraan pada 3 Feb namun dimasukkan ke hospital kerana mengalami sakit belakang dan tengkuk.

Ketika dihampiri, Rosmah berkata beliau tidak mempunyai pilihan.

Ditanya oleh pihak media mengenai kesihatannya, Rosmah menjawab: “Adakah saya ada pilihan?”

Isteri bekas perdana menteri itu dilihat berjalan dengan perlahan dengan seorang pembantu memimpinnya.


Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar melibatkan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas perdana menteri itu menghadapi tiga pertuduhan rasuah yang melibatkan beratus-ratus juta ringgit.

Tertuduh gagal hadir pada hari pertama perbicaraan semalam apabila peguam memaklumkan beliau dimasukkan ke hospital.

Tinggalkan komen anda