Panglima tentera Thai mohon maaf insiden tembakan rambang


shadow

PANGLIMA Tentera Darat Thailand, Jeneral Apirat Kongsompong hari ini memohon maaf atas kejadian tembakan rambang yang mengakibatkan 29 orang maut dan 58 lagi cedera dalam kejadian di Nakhon Ratchasima (juga dikenali sebagai Korat) di timur laut Thailand, Sabtu lepas.

Dalam satu sidang media di ibu pejabat Tentera Diraja Thailand, Apirat kelihatan mengesat air mata beberapa kali sambil meminta agar orang ramai tidak menyalahkan pihak tentera dan mengkritik mereka ekoran insiden berkenaan.

“Sebagai Panglima Tentera, saya ingin memohon maaf serta ucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan yang terbunuh mahupun cedera dalam insiden disebabkan tindakan seorang anggota tentera. Sebaik sahaja dia menarik picu, dia adalah penjenayah dan bukan lagi seorang askar.

“Jangan salahkan tentera atau askar kerana ini boleh merendahkan (semangat) mereka. Jika mahu dipersalahkan, semua boleh menyalahkan Jeneral Apirat (Kongsompong) kerana saya adalah Panglima Tentera,” katanya di sini hari ini.

Suspek, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, 32, yang berkhidmat di Pusat Perintah Tentera Darat Wilayah Kedua, telah ditembak mati oleh anggota keselamatan pada Ahad pagi selepas melepaskan tembakan di empat lokasi di timur laut bandar Nakhon Ratchasima, kira-kira 250 kilometer dari Bangkok.

Pada sidang media itu, Apirat turut mendedahkan kronologi kejadian tembakan rambang yang menyebabkan 29 orang maut dan 58 lagi cedera.

Dalam kejadian pada pukul 3.00 petang Sabtu waktu tempatan, suspek menembak dan membunuh pegawai pemerintah serta ibu mertuanya dengan menggunakan senjata miliknya sendiri selepas satu perselisihan faham.

Suspek kemudiannya memandu menuju ke Kem Tentera Surathampithak dan bertindak mencuri beberapa senjata api baharu serta menembak dua pengawal keselamatan sebelum melarikan diri dalam sebuah kenderaan.

Dia telah melepaskan berdas-das tembakan rambang ke arah orang awam semasa memandu kenderaan dari kem tentera menuju ke sebuah kuil Buddha sebelum ke pusat membeli-belah Terminal 21, di mana dia dipercayai menyembunyikan diri lebih 12 jam.

Apirat berkata motif di sebalik serangan itu dipercayai akibat dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya bahawa dia telah ditipu. 

Beliau berkata satu saluran komunikasi baharu telah diwujudkan bagi membolehkan anggota tentera membuat sebarang aduan, terus kepada Panglima Tentera.

“Saluran ini adalah terus kepada saya. Saya akan merahsiakan identiti dan maklumat anda. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka, termasuk pegawai atasan, yang melakukan kesalahan,” katanya dan menambah langkah itu bertujuan memastikan keadilan kepada petugas tentera.

Sementara itu, Apirat berkata Pejabat Tentera menawarkan peluang pekerjaan kepada waris mangsa yang maut dan cedera dalam insiden tembakan rambang itu, berdasarkan kelayakan pendidikan tanpa syarat.

“Pejabat Tentera mengalu-alukan kehadiran mereka untuk bekerja dengan kami,” katanya.

Tinggalkan komen anda