NAP 2020 Pacu Industri Automotif Negara: Tun M


shadow

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan tiga elemen teknologi canggih baharu menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 yang telah dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tumpuan diberikan kepada gabungan teknologi canggih baharu iaitu Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), Mobiliti sebagai satu Perkhidmatan (MaaS) dan Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0). 

Jelas beliau, kerajaan dalam masa yang sama mengharapkan NAP 2020 menjadi medium penambah baik dasar sedia ada di samping memperkenalkan langkah-langkah baharu yang akan menjadi dasar pembangunan perindustrian holistik.

“Kerajaan sedar bahawa teknologi kenderaan adalah tumpuan dalam pembangunan yang kritikal bagi pengeluar kereta dunia pada hari ini.

“Jadi menerusi NAP 2020, kerajaan harap teknologi yang lebih canggih dapat dicipta bagi meningkatkan keselamatan kenderaan serta menjadikan mobiliti lebih pintar dan mesra alam sekitar.

“Malah, kita percaya NAP 2020 mampu menyediakan kepada keperluan berbeza pelbagai pemegang kepentingan dalam rantaian nilai.

Sehubungan itu jelas beliau, NAP 2020 telah menimbang semua kemungkinan elemen dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penyertaan syarikat domestik dalam rantaian bekalan tempatan dan global, aktiviti kejuruteraan, pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan, peningkatan eksport serta insentif pelaburan.

Terdahulu, Tun Mahathir ditemui selepas melancarkan NAP 2020, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata industri automotif dan sektor berkaitan telah menggunakan khidmat lebih 600,000 tenaga kerja dan menyumbang 4.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang mengeluarkan kenderaan penumpang dan perdagangan serta motorsikal dan skuter. 

“Bagi segmen hiliran, terdapat kira-kira 53,000 syarikat selepas pasaran dan lebih 600 pengeluar bahagian-bahagian dan komponen automotif yang terdiri daripada panel kerangka, bahagian-bahagian trim, bahagian-bahagian powertrain, bahagian-bahagian getah dan bahagian-bahagian elektrik dan elektronik,” katanya lagi.

Tinggalkan komen anda