Menteri potong gaji tapi Kelantan beri bonus pada exco, kata Guan Eng


shadow

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng menyelar pemimpin kerajaan Kelantan yang dianggapnya keliru mengenai tanggungjawab fiskal dalam menguruskan kewangan negeri.

Katanya, pemimpin kerajaan Kelantan itu sanggup membayar bonus RM50,000 dan membeli kenderaan mewah untuk kegunaan exco sedangkan ia tidak mampu membayar gaji kakitangan.

Ia berbeza dengan amalan kerajaan persekutuan yang memotong gaji para menteri untuk membantu kewangan negara dan pada masa sama membantu membayar gaji kakitangan Kelantan.

“Kerajaan PAS (di Kelantan) apabila Pakatan Harapan potong gaji 10% (setiap menteri) untuk bantu fiskal kewangan negara, mereka pula bayar sendiri RM50,000 untuk semua ahli exco sebagai bonus.

“Apabila kerajaan negeri tidak mampu bayar gaji untuk warga perkhidmatan Kelantan, tetapi dia pula mampu beli 14 buah kenderaan Mercedes-Benz,” kata beliau di Seberang Jaya hari ini.

Kerajaan negeri Kelantan mempertahankan pembelian kereta mewah kepada setiap anggota exco itu dengan mendakwanya sebagai satu keperluan demi keselamatan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah turut menafikan bayaran khas RM50,000 kepada setiap anggota exco itu berkaitan dengan peruntukan khas RM400 juta dari kerajaan pusat.

“Ini bukan bonus kerana kita tidak layak menerima bonus sebagaimana kakitangan awam. Sebanyak 14 individu termasuk exco dan menteri besar menerima pemberian khas ini.

“Bukannya selalu, tahun ini saja paling banyak dan tahun depan mungkin tiada,” kata Mohd Amar seperti dilaporkan bulan lalu.

Pada awal bulan tersebut, Kelantan menerima pemberian khas RM400 juta. Menurut Menteri Besar Ahmad Yaakob ia antara lain akan disalurkan sebagai bonus kepada kakitangan dan lantikan politik.

Tinggalkan komen anda