Menteri pengangkutan tidak tahu dakwaan rasuah libatkan Airbus


shadow

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini enggan memberi komen berhubung dakwaan rasuah melibatkan Airbus dan eksekutif AirAsia dan AirAsia X.

Katanya, pemberita harus bertanya kepada AirAsia kerana beliau hanya mengetahui isu itu melalui laporan media.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenainya,” katanya.

Loke diminta memberi respons kepada laporan FMT yang memetik The Telegraph, UK, yang menyebut 2 “eksekutif” AirAsia dan AirAsia X disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan kontrak melalui orang tengah untuk menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Dokumen itu merupakan sebahagian daripada penyelesaian bernilai berbilion dolar yang dicapai dengan pihak berkuasa anti rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, selepas pengeluar kapal terbang Eropah itu mengakui kewujudan “beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaannya”, kata akhbar tersebut.

Loke bercakap pada satu sidang media selepas pelancaran projek naik taraf Terminal Kapal Pesiaran Dermaga Swettenham berharga RM500 juta di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Chow berkata, kerajaan negeri komited untuk menaik taraf dermaga yang terdapat di Butterworth.

Beliau berkata, pelan untuk membangunkan Teluk Pulau Pinang akan dibawa ke World Forum 10 di Abu Dhabi minggu depan dan anggota exco negeri Jagdeep Singh Deo bakal mengetuai delegasinya.

Tinggalkan komen anda