Mavcom cadang tingkatkan penyambungan udara di bawah Pelan Induk


shadow

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini mengumumkan Pelan Induk Ekonomi (EMP) 2021-2030 yang mengandungi cadangan pembangunan sektor penerbangan awam dengan objektif untuk memaksimumkan penyambungan udara.

Ketua Pegawai Operasi Azmir Zain berkata, cadangan jangka panjang itu perlu dilaksanakan secara komprehensif dan bukannya cara berperingkat supaya ianya lebih berkesan.

Mavcom dalam usaha untuk mencapai objektif tersebut, telah menggariskan tiga tonggak strategik iaitu mewujudkan persekitaran komersial yang adil dan berdaya saing, membangunkan infrastruktur lapangan terbang yang sesuai serta menarik modal insan yang mantap.

Bagi tonggak pertama, suruhanjaya itu menyokong persekitaran persaingan yang postif antara peneraju  industri bagi membangunkan sektor penerbangan awam yang berprestasi tinggi, yang mana perundangan dan rangka kerja Malaysia memudahkan persekitaran sedemikian. 

Katanya lagi, perlu diadakan sempadan untuk mengurangkan campur tangan kerajaan yang memihak kepada mana-mana pemain industri tertentu manakala undang-undang persaingan yang kukuh mesti diwujudkan bagi menghidupkan persaingan yang lebih sihat dan adil.

“Pelantikan pegawai pengurusan kanan (dalam Malaysia Airports Holdings Bhd-MAHB) hendaklah dibuat di peringkat komersil, ” Azmir memberitahu media selepas membentangkan pelan berkenaan.

Kedua, pembangunan lapangan-lapangan terbang di Malaysia hendaklah diberi penekanan yang sewajarnya dalam menentukan hala tuju jangka panjang industri penerbangan awam negara.

Oleh itu, infrastruktur lapangan  terbang yang sesuai, cekap dan efektif daripada segi prestasi kewangan termasuk penyampaian perkhidmatan hendaklah disediakan di Malaysia.

Bagi tonggak ketiga, Mavcom telah mencadangkan penubuhan pangkalan sumber manusia berkaitan penerbangan awam yang lebih kukuh bagi menyokong pembangunan sektor.

Antara cadangan pelaksanaan adalah mewujudkan pangkalan data modal insan dan jawatankuasa kerja pembangunan modal insan  serta penubuhan sebuah tabung latihan.

Pada majlis yang sama, Mavcom juga mengeluarkan laporan mengenai ‘Kesan Ekonomi dan Implikasi Penurunan Taraf Penarafan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)’ berikutan penurunan taraf kepada Kategori 2 yang dibuat oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada November 2019.

Azmir berkata, syarikat-syarikat penerbangan Malaysia akan menghadapi potensi hasil pada risiko yang bernilai RM360.8 juta dan RM10.8 juta kepada pengendali lapangan terbang berikutan penurunan taraf itu.

Pengawal selia menganggarkan kerugian hasil yang lebih besar iaitu sebanyak RM4 bilion pada tahun ini jika audit FAA AS mencetuskan audit yang serupa oleh pihak berkuasa penerbangan awam yang lain, terutamanya China, Jepun dan Korea Selatan, berdasarkan pengalaman penurunan Thailand, katanya.

Untuk operator lapangan terbang, potensi hasil pada risiko bagi tahun ini dianggarkan sebanyak RM400 juta, tambahnya.

“Secara tidak langsung, penurunan taraf ini boleh menjejaskan keberkesanan pengawasan CAAM, kos menjalankan perniagaan oleh pemain industri, daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan penerbangan dan kredibiliti negara dalam sektor penerbangan awam antarabangsa,” katanya .

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, penurunan itu akan memberi kesan langsung yang agak kecil ke atas pertumbuhan penumpang dan keuntungan syarikat penerbangan Malaysia pada masa hadapan memandangkan jumlah penumpang yang rendah di antara AS dan Malaysia.

Beliau berkata, Mavcom, bagaimanapun, telah mengkaji semula unjuran pertumbuhan penumpang bagi tahun ini iaitu di antara 4.6 dan 5.7 peratus daripada pertumbuhan awal sebanyak 5.0 hingga 6.0 peratus akibat wabak 2019 novel koronavirus.

“Daripada cadangan ini, kami perlu memperbaiki ketersambungan Malaysia Airports Holdings Bhd serta membantu syarikat penerbangan mendapat hasil yang lebih baik, terutamanya pada saat-saat yang mencabar ini,” katanya lagi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda