Malaysia tidak guna Crypto AC untuk salur maklumat rahsia, kata menteri


shadow

MALAYSIA tidak menggunakan alat pengekodan Crypto AG untuk menyalurkan maklumat rahsia, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata kawalan kerahsian terhadap penyaluran maklumat sentiasa dilaksanakan pada setiap masa bagi memastikan ia tidak terlepas kepada mana-mana pihak di luar daripada agensi berkaitan. 

“Maklumat itu tak boleh keluar, kita kawal rahsia. Bukan sahaja Malaysia tapi banyak negara terlibat (menggunakan Crypto AG) . 

“Ada langkah tertentu kita ambil untuk tentukan tiada data penting (terlepas kepada) siapa luar batas agensi. Kawalan kerahsian akan terus kita laksanakan dan saya diberitahu ini (penggunaan Crypto AG) bukan baharu, dah lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Rela ke-48 Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Stadium Indera Mulia hari ini. 

Beliau mengulas pendedahan Washington Post pada 11 Feb yang menyatakan bahawa Malaysia antara 120 negara menggunakan alat pengekodan dari sebuah syarikat Switzerland bagi menghantar kod komunikasi sulit antara pegawai kerajaan sejak sekian lama. 

Menurut laporan tersebut, syarikat Switzerland itu dimiliki secara rahsia oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dan Perkhidmatan Perisikan Jerman (BND). 

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata penggunaan Crypto AG oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya untuk komunikasi operasi jangka pendek dan bukannya untuk perkara ‘hiper sensitive’. 

“Untuk operasi terhad kita gunakan teknologi itu, kita bukan guna untuk operasi jangka panjang atau untuk kita salurkan maklumat berperingkat,” katanya.

Tinggalkan komen anda