PELUMBA veteran kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkifle yakin skuad negara masih berpeluang memburu gelaran pasukan terbaik Asia pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) walaupun gagal meraih kedudukan podium selepas empat peringkat perlumbaan.
Pelumba berusia 29 tahun itu menjelaskan peluang pasukan kebangsaan untuk memastikan gelaran berkenaan menjadi milik mereka masih ada, namun perlu mencatat kedudukan yang lebih baik pada baki tiga peringkat perlumbaan.
“Kalau tengok pada laluan perlumbaan untuk baki tiga peringkat, kami masih ada peluang untuk meraih gelaran Pasukan Terbaik Asia.
“Sebagai contoh, pada perlumbaan esok ada beberapa laluan berbukit di Balik Pulau yang melibatkan enam pusingan di beberapa selekoh, berbanding tiga pusingan pada tahun lepas, jadi saya nampak kami ada peluang cerah di situ,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya peringkat kelima dari pekan Kuala Kubu Bharu ke Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.
Pakar pecut Terengganu Inc. TSG Cycling Team menjuarai perlumbaan hari ini, disusuli pelumba Jerman, Maximilian Richard Walscheid dari pasukan NTT Pro Cycling Team dan pelumba pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi dari Itali.
Ketua juri menganugerahkan masa yang sama, iaitu 3 jam 39 minit dan 42 saat kepada 10 pelumba teratas yang menamatkan perlumbaan secara berkelompok pada perlumbaan hari ini yang melibatkan jarak sejauh 165.8km.

Pasukan Thailand Continental Cycling Team masih mendahului kedudukan pasukan terbaik Asia selepas lima peringkat perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 53 jam 36 minit dan 45 saat, manakala Malaysia berada di tangga keenam daripada lapan pasukan selepas ketinggalan 27 minit 17 saat di belakang pasukan Thailand.
Dalam pada itu, Nik Mohd Azwan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Pok Nik’ kalangan rakan sepasukan, berpuas hati dengan prestasinya pada hari ini walaupun bergelut dengan kecederaan lutut selepas terlibat kemalangan bersama pelumba lain pada peringkat kedua dan ketiga perlumbaan sebelum ini.
Nik Mohd Azwan, anak jati Kelantan, sekadar menduduki tangga ke-76 daripada 117 pelumba pada perlumbaan hari ini dengan catatan masa 3 jam 39 minit dan 42 saat.
“Kecederaan itu sedikit sebanyak menjejaskan rentak kayuhan saya, tapi saya memang merancang sesuatu untuk pasukan seperti membuat pecahan awal bagi menyumbang mata kepada pasukan kebangsaan.
“Saya gembira dapat kutip tiga mata pada zon pecutan ketiga di Tapah tadi, dan saya berharap dapat meneruskan aksi terbaik bersama skuad kebangsaan pada baki tiga peringkat perlumbaan lagi,” jelas Nik Mohd Azwan yang merupakan seorang anggota polis.
Peringkat keenam esok, melibatkan jarak sejauh 150.9km dari Taiping ke George Town, Pulau Pinang dengan tiga zon pecutan di Bagan Serai, Parit Buntar dan Balik Pulau, selain dua zon pendakian di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.
Tinggalkan komen anda