KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bersetuju mempertingkatkan usaha serta menjalinkan kerjasama lebih rapat ke arah menangani jangkitan coronavirus (COVID-19).
Kementerian Luar melalui satu kenyataan berkata, pendirian itu dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi perbualan telefon bersama Presiden Xi Jinping, semalam.
Dalam perbualan lebih setengah jam itu, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen masing-masing untuk satu pakatan bersama yang dilaksanakan ASEAN dan China, demi memastikan situasi terus terkawal.
Dr Mahathir dalam perbualan berkenaan berkata, Malaysia sentiasa menyokong China dan yakin dengan segala tindakan diambil negara terbabit untuk mengawal penularan COVID-19.
“China melahirkan penghargaan atas pendirian Malaysia berhubung isu ini dan memberi jaminan, kekuatan mereka adalah mencukupi dalam memerangi COVID-19.
“Mereka juga berjanji akan melindungi semua rakyat Malaysia dan negara lain yang kini berada di sana,” kata kenyataan itu lagi.
COVID-19 sehingga kini meragut hampir 1,500 nyawa dan diisytiharkan sebagai darurat kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tinggalkan komen anda