Malaysia Airlines berkongsi kod dengan LATAM Airlines Group


shadow

Malaysia Airlines telah membentuk perjanjian perkongsian kod  dengan LATAM Airlines Group sebagai kaedah bagi menawarkan lebih banyak pilihan sambungan yang lancar kepada pelanggannya.

Mulai bulan ini, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat terbang ke Santiago, Chile menerusi Auckland (New Zealand), Sydney (Australia) atau Melbourne (Australia) melalui perkhidmatan Trans-Pacific LATAM, yang kini dipasarkan dengan kod penerbangan “MH” Malaysia Airlines.

Begitu juga, penumpang LATAM Airlines akan dapat menyambung ke Kuala Lumpur melalui bandar-bandar yang sama di Oceania pada penerbangan Malaysia Airlines yang membawa kod “LA” LATAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata: “Perjanjian baharu ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menyediakan pilihan yang lebih banyak dalam destinasi kepada para penumpang kami, ia memberikan pelbagai jenis pilihan untuk membuat perjalanan.

“Dengan ini, kami akan mampu membina asas kami di Amerika Selatan, yang mana Chile akan menjadi  gerbang kepada rakyat Malaysia untuk meneroka rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Perkongsian kod ini mewujudkan satu lagi kaedah untuk pengembara antarabangsa terbang ke Malaysia dan merasai budaya yang menakjubkan serta keindahan alam semula jadi yang ditawarkan oleh negara ini.  Kami akan memastikan bahawa perjalanan mereka ke Malaysia akan menjadi pengalaman yang luar biasa bermula daripada kenaikan mereka ke dalam pesawat kami, yang ditampilkan dengan hospitaliti Malaysia,” katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai perkongsian kod itu didapati pada malaysiaairlines.com.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda