Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas gantung bicara saman SST


shadow

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi menggantung pendengaran saman yang dikemukakan terhadapnya oleh Pengawal Cukai Jualan Negeri (SST) dan kerajaan negeri Sarawak.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu di dalam kamar, dihadiri peguam Alvin Chong yang mewakili Petronas dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Seri J C Fong.

Chin berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keputusannya sebelum ini yang menolak permohonan Petronas untuk menggugurkan kelayakannya daripada mendengar kes itu pada 23 Jan.

“Oleh itu, penggantungan pendengaran saman ini jika tiada sebarang perkara yang secara langsung menjejas reputasi saya, akan menunjukkan saya gagal dalam melaksanakan tugas saya, suatu pengesahan kekurangan dalam sistem pesuruhjaya kehakiman dan menunjukkan kesilapan dalam peruntukan perlembagaan kita yang berkaitan ke institusi kehakiman,” katanya.

Berikutan keputusan mahkamah hari ini, kes berkenaan akan didengar pada 13 Mac.

Petronas, melalui peguam utamanya, Datuk Malik Imtiaz Sarwar, memohon prosiding itu digantung sementara menunggu rayuan syarikat minyak dan gas nasional tersebut di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Chin pada 23 Jan yang menolak permohonannya agar beliau menarik diri daripada mendengar saman itu.

Pengawal SST Sarawak dan kerajaan negeri memfailkan writ saman serta tuntutan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi di Kuching pada 21 Nov, bagi mendapatkan cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara itu kepada Sarawak.

– Bernama

Tinggalkan komen anda